Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Swasta Malaysia (FEMAC), Gabungan Institusi Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) dan Gabungan Pusat Bertauliah Kemahiran Terengganu (Gakemt) dalam kenyataan bersama mencadangkan, kewujudan Kolej Vokasional Alternatif dalam kalangan ahli FEMAC yang diperakui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia untuk melatih pelajar sekolah menengah yang gagal memasuki kolej vokasional dan mahu mengambil jurusan diminati selain kursus kemahiran ditawarkan di sekolah harian.

Tambahnya, pendekatan 3P yang melibatkan perkongsian pengalaman, kepakaran tenaga pengajar, kemudahan latihan, pendedahan industri, kerjaya serta keusahawanan itu mampu mengimbangi pelaksanaan TEVT untuk tempoh 2016-2020 iaitu antara kepentingan kualiti latihan dengan kekangan peruntukan yang sedang dialami.

“Kami juga mencadangkan pelaksanaan kerjasama secara sistem bermodul iaitu perkongsian kemudahan amali serta praktikal, tenaga pengajar dan persekitaran industri di Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) terpilih.

“Menyedari akan kekangan kewangan yang dihadapi Kementerian Pendidikan, kami mencadangkan kos pembiayaan pelatih ditanggung menggunakan semua dana sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Skim Latihan Dual Nasional, dan peruntukan kumpulan di bawah B40, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta peruntukan kerajaan negeri,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, pelaksanaan cadangan tersebut akan melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia dan ILKS yang berdaftar dalam memberikan kualiti perkhidmatan optimum dan berkesan pada kos paling minimum.

Ujarnya, cadangan pelaksanaan 3P timbul selepas pihaknya melakukan tinjauan terhadap pelaksanaan TEVT dan mendapati wujud pelbagai isu yang boleh mengurangkan kelancaran program tersebut terutamanya di peringkat Kementerian Pendidikan itu sendiri.

“Antara masalah yang dikenalpasti adalah kekurangan tempat untuk pemohon-pemohon kolej vokasional di mana pemohon 80,000 berbanding tempat yang ditawarkan 14,000 sahaja, selain masalah kekurangan guru terlatih dan kemudahan asas yang menepati piawaian pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia,” jelas kenyataan tersebut.